Kanser Payu Dara





Apa Itu Kanser Payudara?

Kanser payudara terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.

Kanser payudara meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita. Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Di sepanjang hidupnya seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28.



Tahap Kanser Payudara

Kanser payudara dikelaskan mengikut beberapa faktor seperti kanser lain. Faktor yang biasa diambilkira ialah tisu punca, lokasi tumor atau tisu punca, jenis tisu atau histologi, gred tumor, peringkat tumor, kemunculan dan aktiviti tumor, status nodus dan perebakan. Mula-mula sel bertukar struktur tetapi berada di lokasi asal di dalam duktus atau membran basemen lobul. Kemudian berlaku mitosis (penduan sel) dan metastasis (perebakan) melalui membran basemen dan bergerak ke kawasan terpencil di dalam badan.



Tanda dan Gejala Kanser Payudara
Pembentukan gumpulan merupakan tanda biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang. Kemungkinan nodul asimptomatik akan muncul sebelum tanda atau gejala lain timbul. Sakit payudara atau mastodinia atau sakit pada gumpulan merupakan satu lagi gejala kanser payudara di peringkat awal. Kemudian tanda-tanda radang seperti sakit, panas, kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulit dan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal. Kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai “peau d’orange”.


Gumpulan mungkin terjadi di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk. Kulit payudara mungkin kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung. Puting mungkin terpusing ke dalam, menjadi merah atau bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal. Apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda seperti demam, seram sejuk, sakit tulang dan sendi, sakit kuning, gejala neurologi dan curahan (efusi) pleura. Kelemahan adalah tanda atau gejala awal kanser payudara mungkin tidak kelihatan, justeru kaum wanita perlu mengambil inisiatif membuat diagnosis dengan memeriksa sendiri payudara dan juga menjalani ujian payudara setiap tahun.












Secara ringkas,

Tanda-tanda awal kanser payudara

Wanita harus peka kepada perubahan yang berlaku pada payudara dan puting.
* Perubahan rasa di payudara atau puting
* Ketulan atau perubahan ketebalan di payudara atau bawah ketiak
* Puting payudara yang terasa tegang dan sakit
* Perubahan dilihat pada payudara atau puting
* Perubahan saiz dan bentuk payudara
* Puting payudara terperosok ke dalam
* Permukaan kulit payudara, sekeliling puting, atau puting bersisik, merah atau bengkak. Permukaan kulit boleh kasar atau berliang seolah-olah seperti permukaan oren.


Walaupun kanser payudara di peringkat awal biasanya tidak menyebabkan kesakitan, wanita haruslah berjumpa dengan doktor atau kakitangan perubatan yang berkelayakan sekiranya berasa sakit pada bahagian payudara mereka atau tanda-tanda tersebut tidak hilang. Kebanyakan simptom atau tanda-tanda ini bukan kanser.



Siapa berisiko tinggi?
Tiada siapa tahu punca yang jelas berlakunya kanser payudara. Bagaimanapun kajian menunjukkan beberapa faktor risiko boleh memungkinkan seseorang itu mengalami kanser payudara.


Umur: Kemungkinan untuk mendapat kanser payudara semakin tinggi bila wanita semakin berumur.Penyakit ini jarang dialami oleh wanita sebelum menopaus.


* Sejarah individu kanser payudara: Seorang wanita yang mengalami kanser payudara di sebelah payudara mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser payudara di sebelah satu lagi.


* Sejarah keluarga: Seorang wanita berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara sekiranya ibu, saudara perempuan atau anak perempuannya mengalami kanser payudara.


* Beberapa perubahan di payudara: Beberapa peratus wanita mempunyai sel di payudara yang tidak normal.


Contohnya Atypical hyperplasia atau Lobular carcinoma in situ merupakan sel-sel abnormal di payudara yang mempunyai risiko tinggi mendapat kanser payudara.


Perubahan genetik: Perubahan pada gen-gen tertentu (BRCA1, BRCA2 dan yang lain).Wanita yang berada di kalangan keluarga yang mengalami kanser payudara boleh menjalani pemeriksaan genetik untuk mengetahui perubahan pada gen-gen tertentu.




Risiko lain


* Kesuburan dan sejarah haid


* Semakin berumur seseorang wanita semasa memperoleh anak pertama, semakin tinggi risiko untuk mendapat kanser payudara.


* Wanita yang mengalami haid pada umur yang terlalu awal (sebelum 12 tahun), putus haid di usia lewat (selepas umur 55 tahun), atau tidak mempunyai anak juga mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara.


* Mereka yang mengambil terapi hormon menopaus melebihi lima tahun berkemungkinan mendapat kanser payu dara.


* Bangsa: Kanser payudara lebih kerap berlaku di kalangan mereka yang berkulit putih daripada bangsa Asia atau Afrika.


* Obes setelah menopaus: Setelah menopaus, mereka yang obes (terlalu gemuk) berkemungkinan besar mendapat kanser payudara yang lebih tinggi.


* Aktiviti fizikal: Wanita yang tidak aktif langsung sepanjang usianya mengalami risiko yang tinggi untuk memperolehi kanser payudara.


* Alkohol: Beberapa kajian menunjukkan wanita yang meminum arak berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara.




Wanita yang mengalami tanda-tanda di atas perlulah mendapatkan pemeriksaan doktor sebelum menjalani pemeriksaan yang lebih lanjut. Biasanya ketulan yang lembut, licin, bulat dan boleh bergerak-gerak adalah tidak merbahaya atau benigna.Ketulan yang tidak jelas bentuknya, melekat di dalam tisu payu dara selalunya berkemungkinan besar adalah kanser.