Kanser Hidung




Apa itu kanser pangkal hidung

Kanser pangkal hidung adalah kanser yang terletak jauh dibelakang rongga hidung. Kanser ini adalah antara kanser yang sepuluh tertinggi dikalangan rakyat malaysia selain dari kanser payu dara, kanser pangkal rahim dan kanser usus. Mengikut statistik kaum Cina adalah kaum yang paling ramai mengalaminya diikuti kaum Melayu. Manakala kaum India jarang-jarang ditemui mengalami penyakit ini.




Apakah yang menyebabkan terjadinya penyakit ini?


Faktor penyebab penyakit ini mungkin disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah faktor keturunan, jangkitan virus EBV (Epstein Bar Virus), pengambilan makanan yang diawet dengan kerap seperti ikan masin dll.




Tanda–tanda penyakit


Pesakit yang mengalami masalah ini biasanya terdapat beberapa tanda. Antaranya adalah hidung tersumbat, perdarahan hidung atau kesan darah pada air liur di waktu pagi, kurang pendengaran pada sebelah telinga, telinga berdesing, terdapat bengkak yang tidak sakit pada leher dan penglihatan kabur atau bertindih.


Sekiranya anda mengalami salah satu daripada gejala tersebut, adalah dinasihatkan supaya melakukan pemeriksaan lanjut.



Pemeriksaan dan Rawatan



Sekiranya pesakit hadir dengan gejala yang disebutkan tadi, pemeriksaan endoscope akan dilakukan oleh doktor pakar ENT untuk memastikan tiada ketumbuhan di bahagian pangkal hidung. Sekiranya terdapat kebengkakan, cubitan sedikit pada isi tersebut akan dilakukan untuk ujian makmal. Pemeriksaan tersebut boleh dilakukan dalam masa 5 ke 10 minit dan ianya tidak terlalu menyakitkan.


Sekiranya terdapat kebengkakan, pesakit akan seterusnya diperiksa melalui CT Scanuntuk melihat saiz ketumbuhan yang sebenar. X-ray dada dan ultrasound hati perlu untuk melihat sejauh mana kanser tersebut telah merebak.


Rawatan awal adalah diperlukan untuk mendapatkan keberkesanan yang maksimum. Kebiasaannya pesakit akan dirawat dengan radiotherapy dan mungkin diikuti olehchemotherapy mengikut tahap kanser tersebut.