Kanser parotid

Bagaimana Kanser Parotid terjadi?






SETIAP orang antara kita mempunyai sejumlah kelenjar air liur yang tidak terhitung banyaknya. Fungsi utama kelenjar-kelenjar tersebut adalah bagi menghasilkan dan mengeluarkan air liur yang amat penting untuk kegunaan dalam proses pemakanan, pencernaan, pertuturan, dan sebagainya.

Kelenjar-kelenjar air liur ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu kelenjar utama (major) dan kelenjar kecil (minor).

Kelenjar air liur major hanya terdiri daripada tiga iaitu kelenjar parotid, submandibular dan sublingual.

Kelenjar selain daripada ketiga-tiga ini dikenali sebagai kelenjar minor. Ia terdapat di merata-rata lokasi di sepanjang saluran pencernaan terutamanya di lelangit, farinks, lidah, bahagian dalam pipi dan bibir.

Kelenjar parotid merupakan kelenjar yang terbesar berbanding dengan dua yang lainnya (submandibular dan sublingual).

Setiap manusia normal mempunyai sepasang parotid iaitu di sebelah kiri dan kanan, setiap satunya seberat kira-kira 15 gram. Ia terletak di bahagian hadapan dan sedikit ke bawah dari telinga.

Air liur yang dihasilkan daripada kelenjar ini akan dirembeskan ke dalam rongga mulut melalui suatu saluran sepanjang kira-kira lima sentimeter.

Bukaan saluran ini terdapat di kawasan bertentangan dengan gigi geraham atas kedua, pada seseorang manusia.

* Keistimewaan parotid

Selain daripada menjadi kelenjar air liur yang terbesar, kelenjar parotid juga mempunyai beberapa keistimewaan yang lain berbanding kelenjar liur lain.

Salah satu daripadanya ialah ia dilalui oleh saraf muka (facial nerve). Saraf muka merupakan saraf kranial yang paling penting untuk membolehkan seseorang manusia itu menggerakkan otot mukanya sama ada untuk ekspresi wajah, membantu proses pemakanan, mengelipkan mata dan sebagainya.

Saraf muka menembusi kelenjar parotid antara bahagian parotid luar (superficial) dan parotid dalam (deep).

Ia menjadi sempadan kepada pembedahan yang ada kalanya bahagian parotid luar sahaja yang perlu dibuang seperti dalam kes-kes ketumbuhan bukan kanser.

Kehadiran saraf muka di dalam kelenjar parotid ini juga menyebabkan saraf tersebut mendapat sedikit perlindungan daripada kecederaan secara langsung.

Contohnya, apabila suatu daya yang kuat seperti tamparan mengenai pipi, saraf muka akan mendapat perlindungan daripada kelenjar parotid yang bertindak seperti kusyen yang menyebabkan ia tidak mudah terganggu akibat hentakan.

Sungguhpun begitu, saraf muka juga turut terdedah kepada kecederaan terutamanya bagi kes-kes kanser parotid.






Ini kerana ketumbuhan yang merebak di dalam parotid itu sendiri boleh merebak secara langsung ke saraf muka ataupun memberi kesan tekanan yang menyebabkan seseorang itu mempunyai kelumpuhan saraf muka.

Selain itu, kehadiran saraf ini juga menyebabkan pembedahan kelenjar parotid menjadi lebih mencabar dan memerlukan kepakaran dan ketelitian yang tinggi untuk memastikan saraf tersebut terpelihara pada sepanjang masa pembedahan.

Kelenjar parotid juga mempunyai kapsul yang agak tebal berbanding struktur-struktur lain yang ada pada muka dan kepala seseorang.

Kapsul yang tebal dan agak ketat ini menyebabkan sebarang pembengkakan kelenjar parotid, walaupun dalam kadar yang sedikit, akan menyebabkan rasa sakit yang amat kuat.

Contohnya, dalam kes jangkitan bakteria atau virus yang menyebabkan parotitis, kesakitannya amatlah tidak tertahan walaupun dari segi saiznya tidaklah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara.

* Masalah kelenjar parotid & tandanya

Seperti mana juga organ atau struktur lain dalam badan, kelenjar parotid juga terdedah kepada beberapa bentuk keabnormalan.

Ia termasuklah keradangan (parotitis) yang boleh berpunca daripada jangkitan bakteria, virus atau kesan dehidrasi terutamanya dalam kalangan warga emas.

Jika keradangan yang berpunca daripada jangkitan ini tidak dirawat di peringkat awal, ada kemungkinan nanah akan terbentuk di dalam kelenjar parotid. Apabila ia terbentuk, maka nanah itu perlu dikeluarkan.

Tidak kurang juga kes parotid yang membengkak itu merupakan kes yang berpunca daripada masalah ketumbuhan.

Namun begitu, 80 peratus daripada ketumbuhan parotid ialah ketumbuhan dari jenis bukan kanser (benign).






Bagi kes kanser parotid pula, biasanya pesakit akan datang dengan kebengkakan kelenjar ini yang semakin lama semakin membesar. Ia juga adakalanya sakit.

Kes-kes kelumpuhan saraf muka juga mungkin menunjukkan bahawa kanser tersebut telah sampai ke peringkat yang lebih teruk.

Selain daripada masalah struktur, parotid juga boleh bermasalah dari segi fungsinya. Ini termasuklah kegagalan parotid untuk menghasilkan air liur.

Biasanya, pesakit yang menjalani rawatan radioterapi untuk ketumbuhan lain berhampiran kawasan muka akan mengalami kegagalan fungsi parotid sekiranya alur radiasi itu terpaksa melalui kawasan kelenjar parotid.

Pesakit akan mengalami kekurangan air liur dan mungkin kekeringan bibir mulut dan rongga oral, serta mengalami rekahan pada tepi mulut.

Tidak kurang juga parotid yang tidak dapat mengeluarkan air liur disebabkan oleh salurannya yang tersumbat. Biasanya, ia disebabkan oleh batu kecil yang terbentuk di dalam salur tersebut.

Ada juga keadaan di mana saluran tersumbat ini disebabkan oleh fibrosis atau stricture yang terhasil daripada proses penyembuhan jangkitan waktu lampau.

Pesakit akan terasa sakit dan parotid sedikit membesar sewaktu makan. Ini kerana terdapat air liur yang dihasilkan tetapi tidak dapat dikeluarkan.

* Rawatan

Secara ringkasnya, bagi jangkitan parotid biasanya keadaan akan kembali normal selepas antibiotik diberikan untuk suatu tempoh.

Jika nanah telah terbentuk, ia perlu dikeluarkan baik secara sedutan berulang (repeated aspiration) atau dengan melakukan pembedahan kecil untuk mengeluarkannya.

Jika terdapat batu dalam saluran parotid, ia perlu dibuang jika ia tidak keluar dengan sendirinya. Jenis pembedahan itu pula bergantung kepada lokasi batu tersebut.

Kira-kira 80 peratus daripada ketumbuhan kelenjar liur terjadi pada kelenjar parotid. Bagaimanapun, 80 peratus daripada jumlah ketumbuhan ini adalah dari jenis bukan kanser (benign), secara histologinya ialah dari jenis pleomorfik adenoma.

Ketumbuhan jenis benign amnya dan pleomorfik adenoma khasnya perlu menjalani rawatan pembedahan bagi mengeluarkan bahagian superfisial kelenjar parotid, iaitu yang terletak di atas planar saraf muka.

Ini adalah bagi memastikan ketumbuhan tersebut dapat dikeluarkan sepenuhnya dan seterusnya mengelakkan ia berulang kelak.

Bagi kes kanser parotid pula, biasanya keseluruhan kelenjar akan dibuang. Ini kerana sedikit sahaja tisu yang ditinggalkan membawa potensi untuk menjadi besar semula dan juga merebak ke bahagian badan yang lain.

Apabila ini berlaku, bentuk rawatan akan menjadi lebih rumit dan kesudahannya juga mungkin tidak begitu menggembirakan.

Dalam kes-kes kanser yang tinggi grednya dan menunjukkan corak perebakan yang agak agresif, biasanya pembedahan akan disusuli terus dengan rawatan menggunakan radioterapi bagi memastikan sebarang bentuk potensi untuk kanser berkembang semula atau merebak akan dilenyapkan dari badan pesakit.

Setiap penyakit ada rawatannya, namun sejauh manakah rawatan itu berkesan bergantung kepada jenis penyakit, kepatuhan pesakit kepada rawatan, tahap penyakit sewaktu pesakit datang meminta rawatan dan banyak faktor lain lagi.

Apa yang sangat penting bagi pesakit ialah datang awal ke klinik atau hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika sebarang bentuk keabnormalan dirasakan telah atau sedang berlaku.

Rawatan awal mungkin dapat menyelamatkan kelenjar parotid dan kelewatan terutamanya dalam kes kanser mungkin mengundang bahaya.

Parotid yang mengalami sebarang bentuk perubahan baik dari segi saiz, bentuk, rasa sakit atau penglibatan saraf muka perlu diberi perhatian serius kerana mungkin ia hanyalah manifestasi kepada masalah yang lebih besar sedang berlaku di dalam kelenjar parotid.


Oleh Dr Irfan Mohamad





© Utusan Melayu (M) Bhd